Ibarat semut dengan gajah, seramai hampir 700 anggota sukarelawan Life Line For Gaza (LL4G) dikeroyok oleh tentera komando Zionis yang bertindak menyerang kapal yang dinaiki sukarelawan di perairan antarabangsa, sebelum memaksa mereka ke Israel untuk didakwa atas kesalahan yang belum pasti.
Itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh sesiapa sahaja yang cuba untuk menggugat pencerobohan haram Yahudi di Palestin, tanah wakaf milik umat Islam sepanjang zaman. Apa sahaja usaha yang dilakukan untuk mengenakan tindakan antarabangsa terhadap perbuatan biadap itu tidak ubah seperti anjing menyalak bukit jika tidak disertai oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang merupakan sekutu kuat Israel.
Malah tindakan kuasa besar yang melaungkan keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia juga diselar kerana berdiam diri terhadap keganasan Israel.
Selain itu, tindakan segelintir negara Islam yang menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis juga sangat dikesali memandangkan saudara Islam yang seagama di Palestin terus dinafikan hak untuk mendapat pembelaan antarabangsa. Akibatnya mereka akan terus disembelih dan terpenjara di tanah air sendiri.
Apa yang menimpa misi kemanusiaan yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza adalah kesinambungan daripada siri-siri kekejaman Zionis yang tidak berkesudahan. Dunia sepatutnya tidak lupa dengan penyembelihan terancang Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang telah mengorbankan seramai 3,000 hingga 3,500 nyawa wanita, kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak berdosa.
Namun sehingga hari ini, tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas tindakan kejam itu dibawa ke muka pengadilan, jauh sekali daripada dihukum dengan hukuman yang setimpal. Malah kemudiannya Ariel Sharon yang terlibat secara langsung dalam penyembelihan itu dilantik pula menjadi Perdana Menteri Israel.
Begitu juga dengan tindakan sendiri yang dilakukan oleh ejen perisikan Israel iaitu Mossad yang merancang pembunuhan pemimpin Hamas di Dubai.
Sekalipun terlibat memalsukan dokumen perjalanan rasmi milik beberapa negara tetapi sehingga kini belum ada muka-muka pengganas Yahudi yang terlibat dihadapkan ke mahkamah sebagai usaha pembelaan antarabangsa terhadap kematian al-Syahid Mahmoud al-Mabhuh yang ditemui mati dibunuh di hotel penginapannya di Dubai pada 20 Januari lalu.
Dunia diingatkan jangan mudah lupa bahawa Israel sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita untuk mewujudkan The Great Israel tercapai, walaupun di atas runtuhan binaan Masjid al-Aqsa, tempat transit Nabi Muhammad SAW sebelum diangkat ke langit dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Untuk tujuan itu juga, ada manusia yang dijadikan binatang tunggangan lalu memejamkan mata terhadap perlakuan ganas Yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT.
Tindakan sukarelawan Malaysia menggadai nyawa, melakukan apa sahaja untuk membantu rakyat Palestin adalah pekerjaan mulia yang perlu dicontohi dan disokong dengan doa dan harapan agar sentiasa beroleh pertolongan daripada Allah SWT. Demi membela nasib sesama manusia, mereka sanggup meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta walaupun mengetahui akan berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan akibat provokasi Yahudi.
Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan -pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal ayat 60).
Sehubungan itu juga, umat Islam diharap tidak terkesima dengan perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun yang akan datang. Jangan terlalu berseronok menonton perlawanan bola sepak sehingga nasib saudara seagama diabaikan.
Begitu juga umat Islam diperingatkan supaya tidak melalaikan tanggungjawab ibadat dan kerja-kerja seharian hanya kerana asyik menonton televisyen. Lebih daripada itu, keterlibatan umat Islam berjudi mahupun bertaruh atas kemenangan pasukan yang diminati adalah haram dan sewajarnya dijauhi.
Umat Islam disaran melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu saudara Islam di mana juga mereka berada. Jika terdapat di kalangan anggota sukarelawan Life Line For Gaza yang mengetepikan persoalan agama dan kepercayaan untuk membantu masyarakat Palestin, mengapa tidak seluruh dunia Islam bersatu menentang keangkuhan Zionis di Palestin yang merupakan tuntutan fardu ke atas umat Islam sejagat.
Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON, PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
sumber: utusanonline
KAMI MAHASISWA PRIHATIN
No comments:
Post a Comment
mahasiswa berhak bersuara. lontarkan suara anda si sini.
"YOUR VOICE IS MY VOICE!"