Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kesal dengan peristiwa penahanan empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pihak polis di Hulu Selangor dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah berundur ke belakang ketika masyarakat dunia khususnya di para belia dituntut mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pentadbiran dan pembangunan negara hari ini.
Menyoroti hari kejadian tersebut, mereka ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Hulu Selangor bersama tiga orang awam yang lain. Kemudiannya, Pihak pentadbiran UKM telah mengeluarkan surat pertuduhan terhadap empat orang mahasiswa tersebut pada 13 Mei lalu.
Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik tersebut ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai. Mereka akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 2 dan 3 Jun ini atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang di bawah seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bermaksud;
"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".
Ironinya semua pertuduhan tersebut ditujukan kepada empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik. Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap mahasiswa untuk turun ke lapangan masing-masing bagi menimbau sebanyak mungkin pengalaman dan mengukuhkan pemahaman. Di mana lagi lapangan bagi mahasiswa jurusan Sains Politik sekiranya bukan dalam pilihan raya. Ini ternyata bercanggah dan tidak logik bagi akal apabila seorang yang sedang menduduki jurusan di dalam kuliah universiti secara teori tetapi disekat hak akademik mereka untuk mengorientasikan pembelajaran mereka ke lapangan sebenar.
“Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku," kata Muhammad Hilman Idham
Dakwaan ‘ menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia ‘ pula nyata gagal dibuktikan dengan jelas apabila salah seorang mahasiswa yang ditahan menegaskan bahawa mereka kebetulan ‘hanya menumpang kereta seorang aktivis’ dan ‘bukan berkempen’. Justeru tindakan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang terus menuduh mahasiswa tersebut menyokong Pakatan Rakyat nyata dikesali dan memalukan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia kerana bertindak kurang rasional dan kebudak-budakkan.
AUKU yang sangat diagung-agungkan oleh pihak pentadbiran UKM ternyata sudah tidak releven lagi. Ini ternyata telah membantutkan pertumbuhan idealisme mahasiswa sejurus mengurangkan kredibiliti mahasiswa sebagai pemimpin pada masa akan datang.
“ Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar. Kami sebagai mahasiswa hanya ingin menyuarakan pandangan serta pendapat terhadap sesuatu isu. Kerajaan sepatutnya menjadikan lontaran idea dari kalangan mahasiswa sebagai batu lonjakan bagi memperbaiki sistem pentadbiran Negara ke arah yang lebih baik.Sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan IPTA di Malaysia mencatatkan penurunan rangking Asia.Jika kerajaan terus menerus menyekat idealisme mahasisa, saya khuatir kualiti mahasiswa-mahasiswa yang dilahirkan akan terus jatuh dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia semakin terkebelakang akibat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritikal dan kritis.” Tegas Mohd Hafiz B Abdul Razak selaku Pengurusi GMUKM
Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.
KAMI MAHASISWA PRIHATIN
No comments:
Post a Comment
mahasiswa berhak bersuara. lontarkan suara anda si sini.
"YOUR VOICE IS MY VOICE!"