DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA
PENYAYANG
Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran kita ucapkan
kepada Allah yang masih lagi memberi
kita waktu 24 jam sehari, yang masih mengurniakan kita akal untuk berfikir dan
yang paling penting Allah S.W.T masih lagi memberi nikmat IMAN dan ISLAM.
Selawat dan salam keatas junjungan nabi Muhammad S.A.W.
Adakah amalan-amalan yang dilakukan di bulan
ramadhan masih diteruskan hingga ke hari ini..masih bertadaruskah kita??? Masih
bangun untuk berqiamulail kah kita? Tepuk dada tanyalah IMAN masing2. Waktu
terus berlalu. Sedarkah kita semua, bahawa kita akan menghadapi satu perjuangan
yang besar?ye. satu perjuangan yang besar..iaitu PRK.
Telinga
siswazah Malaysia dewasa ini lazim disogokkan dengan keluhan bernada sinis,
bahawa mereka kini sudah tidak sehebat dulu, mereka tidak lagi menjadi menara
tempat suara rakyat dinobat, tidak lagi bertindak selaku pembela, bahkan hanya
mengukur kecemerlangan dengan segulung ijazah, yang kualitinya turut
dipertikaikan. Kelesuan siswazah adalah sebuah permainan yang bernatijahkan
kekalahan tanpa ada pihak yang mendapat manfaat dan menjadi pemenang.
Semua ini
adalah fenomena, yang tersimpul di dalam sepatah kalimah. Ia mewakili sindrom
jangkitan ke atas minda siswazah iaitu AKU TIDAK PEDULISMA
Selaku
kumpulan siswazah cemerlang dan terpilih, apatah lagi yang menekuni pemikiran
Islam seperti kebanyakan kita, tentunya kita berasa gerun dan sensitif dengan
fahaman-fahaman anti Islam yang semakin menular di kalangan masyarakat.
Sekularisma selaku penghulu kepada ideologi anti Islam, mencambahkan pelbagai
nama fahaman yang di sesetengah keadaan, berselindung di sebalik nama-nama enak
seperti modenisma, pembaharuan dan sebagainya. Kapitalisma, sosiolisma,
liberalisma, materialisma atau apa sahaja fahaman yang bermain nama, semuanya
menjurus ke arah menjauhkan umat Islam dari Islam itu sendiri.
Namun, apakah ada ideologi yang lebih merbahaya dari idelogi yang bernama ‘aku tidak pedulisma’. Ia adalah ideologi yang menolak bentuk manusia berfikir, mengecam manusia berjuang, dan mengenepikan manusia berbakti. Ia adalah fahaman yang bersifat ananiah, tiada sensitiviti, tiada perjuangan, bahkan hanya berusaha ke arah melahirkan manusia yang menjadi hamba kepada dirinya sendiri. Golongan ‘aku tidak pedulisma’ adalah manusia yang menutup semua pintu untuk manusia lain mendekatinya, mereka tidur di dalam jaga dan mati semasa hidup.
Fenomena
paling ketara bagi kelompok ‘aku tidak pedulisma’ ini adalah budaya hedonisma.
Hedonisma yang sepatutnya menjadi gejala golongan yang tidak berpendidikan dan
rendah moral, merayap masuk ke celah-celah golongan siswazah dan intelek. Ia
adalah budaya cinta dan ketagih hiburan. Apa yang dimahukan hanyalah
unsur-unsur yang membawa cuti minda, atau mungkin berakhir dengan kematian
idealisma dan erti hidup.
Adalah
sukar untuk membayangkan perubahan, jika golongan siswazah terus tenggelam di
dalam budaya hedonisma. Mereka yang diharapkan mampu memimpin perubahan,
berubah menjadi kelompok juzuk masyarakat yang hilang keprihatinan. Tidak
bergerak sebagai pembela masyarakat, mereka berubah menjadi beban.
Kita
khuatir dunia dipenuhi oleh golongan oportunis yang hanya hidup bersandarkan
maslahah. Lebih membimbangkan jika kelompok ini adalah kelompok siswazah
Muslim. Takutilah sindiran Allah SWT di dalam Al-Quran:
“Dan di sana terdapat sebahagian
manusia yang menyembah Allah sekadar di pinggiran. Jika mendapat kebaikan
mereka akan tenang dengannya (iman kepada Allah) dan apabila ditimpa fitnah
(ujian) mereka akan memalingkan wajah (meninggalkan agama Allah). Mereka
kerugian dunia dan akhirat. Itulah dia sebenar-benar kerugian yang nyata” (Surah
Al-Hajj 22 : 11)
Artikel
ini diubahsuai daripada versi asal yang dibentangkan oleh penulis sempena
Persidangan Persatuan Mahasiswa Jordan Pertama Jordan (PERTAMA) pada 27 – 29
Jun 2001
ABU SAIF
@ www.saifulislam.com