Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera daripada MPP anda!
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaan dan kelancaran program Perasmian Minggu Mesra Tahun Klinikal pada malam 28 Mei 2010 bertempat di Auditorium PPUKM. Jutaan terima kasih buat para tetamu VIP iaitu Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy selaku Timbalan Dekan (Pengajian Pra Siswazah dan Hubungan Masyarakat) Fakulti Perubatan UKM, saudara Mohamad Azizuddin Fahmi Bin Nordin selaku YDP PERSIAP, saudara Mohamad Hafizzudin Bin Mohame Tahir selaku YDP JAKSA KTDI, saudara Syukri Hasim selaku Naib YDP JAKSA KTDI, dan semestinya para pelajar tahun 3 yang menghadirkan diri. Terima kasih juga buat 'senior' yang sudi hadir memeriahkan majlis. Setinggi-tinggi tahniah buat organisasi yang bertungkus-lumus menjayakan acara tersebut.
Program bermula pada jam 8.30 malam dan dirasmikan oleh bonda Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy. Beliau titipkan mutiara kata yang sangat berharga tentang kepentingan untuk melatih diri bersifat rendah diri dan tidak suka menunjuk-nunjuk di samping bersungguh-sungguh menimba ilmu sepanjang pengajian untuk bergelar doktor perubatan.
MPP Fakulti Perubatan, saudari Farih Najihah Hashim turut berucap dengan menyuarakan harapan agar warga baru PPUKM yakni mahasiswa perubatan tahun 3 akan terus bersemangat melibatkan diri dalam program sepanjang MMTK dan program-program anjuran badan-badan organisasi pelajar yang akan datang sebagai sokongan terhadap usaha murni untuk kebaikan bersama.
Hadirin turut diceriakan dengan gimik perasmian yang sesuai dengan tema orientasi kali ini iaitu "Menerokai Gerbang Klinikal". Prof. Dr. Zaleha menggunting riben perasmian serta menyarungkan 'white coat' kepada pelajar tahun 3 yang melangkah ke pintu gerbang sebagai simbolik tema minggu orientasi kali ini.
Setelah Prof. Dr. Zaleha diiringi tetamu-tetamu VIP beredar untuk majlis jamuan, acara malam tersebut diikuti oleh program pengenalan MPP dan sesi ramah mesra yang mendapat sambutan yang baik daripada para pelajar tahun 3. Penekanan diberikan terhadap Kempen 'Saya Mahasiswa Prihatin' yang merangkumi pendedahan tentang prosedur memohon bantuan Tabung Kebajikan UKM untuk membantu para pelajar yang memerlukan. MPP Umum, Alia Suzana Asri menegaskan jika bukan kita yang ditimpa musibah, maka jangan diabaikan rakan-rakan yang dalam kesusahan, pastikan kita berusaha membantu mereka sedaya mungkin dengan menggunakan saluran yang betul.
MPP juga mengajak adik-adik tahun 3 untuk sama-sama rmenyaksikan 'warna sebenar' doktor-doktor atau guru-guru yang dianggap 'garang'. Hakikatnya, mereka menanti para pelajar untuk mencurahkan ilmu mereka dengan harapan para pelajar mampu menjadi doktor yang cemerlang kelak. Akhirnya, program ringkas dan padat tersebut melabuhkan tirainya pada jam 10 malam.
Terima kasih atas kerjasama dan sokongan anda semua. Harapan kami agar anda aktif memberikan masukan yang membina untuk kesejahteraan bersama. Suara anda, tetap menjadi keutamaan kami kerana kami juga mahasiswa yang sama-sama mengejar kejayaan yang diimpikan. Semoga program yang telah dijalankan memberi manfaat buat semua dan mendapat redha Allah subhanahu wataala.
Selamat Menerokai Gerbang Klinikal!
Selamat Menerokai Gerbang Klinikal!
IKHLAS dari KAMI MPP PERUBATAN
~ALIA~FARIH~NASIHA~
SUARA ANDA KEUTAMAAN KAMI!
No comments:
Post a Comment
mahasiswa berhak bersuara. lontarkan suara anda si sini.
"YOUR VOICE IS MY VOICE!"