Rakan MPP FPer

Barisan PMUKM Sesi 2012/2013

Saturday, June 12, 2010

FORUM LIFELINE FOR GAZA : SATU ANALISA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera daripada Dr Mahasiswa anda!

Tanggal 15 Jun 2010 ini, MPP Fakulti Perubatan dengan kerjasama Badan Eksekutif Surau dan Tarbiyyah (BEST) ar-Razi, KTDI bakal menganjurkan suatu forum bertajuk Lifeline for Gaza: Satu Analisa. Dengan menjemput Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengarah PACE dan seorang wakil dari Aqsa Sharif, forum yang bakal berlansung di Auditorium PPUKM ini akan mengupas isu hangat masa kini mengenai misi bantuan kemanusiaan LL4G kepada rakyat Palestin namun telah dikekang oleh Israel laknatullah. Datanglah beramai-ramai bagi menyaksikan forum ini, semua dijemput hadir.

IKHLAS dari KAMI MPP PERUBATAN
~ALIA~FARIH~NASIHA~
OUR VOICE IS MY VOICE

LL4G: MENYEDARKAN MANUSIA MEMAHAMI ERTI KEMANUSIAAN DAN KEKEJAMAN

Di sebalik keghairahan peminat bola sepak menantikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara Afrika Selatan dan Mexico pada 11 Jun ini, dunia dikejutkan dengan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis yang menyerang kapal dan menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.


Ibarat semut dengan gajah, seramai hampir 700 anggota sukarelawan Life Line For Gaza (LL4G) dikeroyok oleh tentera komando Zionis yang bertindak menyerang kapal yang dinaiki sukarelawan di perairan antarabangsa, sebelum memaksa mereka ke Israel untuk didakwa atas kesalahan yang belum pasti.


Itulah hakikat yang perlu dihadapi oleh sesiapa sahaja yang cuba untuk menggugat pencerobohan haram Yahudi di Palestin, tanah wakaf milik umat Islam sepanjang zaman. Apa sahaja usaha yang dilakukan untuk mengenakan tindakan antarabangsa terhadap perbuatan biadap itu tidak ubah seperti anjing menyalak bukit jika tidak disertai oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang merupakan sekutu kuat Israel.


Malah tindakan kuasa besar yang melaungkan keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia juga diselar kerana berdiam diri terhadap keganasan Israel.


Selain itu, tindakan segelintir negara Islam yang menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis juga sangat dikesali memandangkan saudara Islam yang seagama di Palestin terus dinafikan hak untuk mendapat pembelaan antarabangsa. Akibatnya mereka akan terus disembelih dan terpenjara di tanah air sendiri.


Apa yang menimpa misi kemanusiaan yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza adalah kesinambungan daripada siri-siri kekejaman Zionis yang tidak berkesudahan. Dunia sepatutnya tidak lupa dengan penyembelihan terancang Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang telah mengorbankan seramai 3,000 hingga 3,500 nyawa wanita, kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak berdosa.


Namun sehingga hari ini, tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas tindakan kejam itu dibawa ke muka pengadilan, jauh sekali daripada dihukum dengan hukuman yang setimpal. Malah kemudiannya Ariel Sharon yang terlibat secara langsung dalam penyembelihan itu dilantik pula menjadi Perdana Menteri Israel.


Begitu juga dengan tindakan sendiri yang dilakukan oleh ejen perisikan Israel iaitu Mossad yang merancang pembunuhan pemimpin Hamas di Dubai.


Sekalipun terlibat memalsukan dokumen perjalanan rasmi milik beberapa negara tetapi sehingga kini belum ada muka-muka pengganas Yahudi yang terlibat dihadapkan ke mahkamah sebagai usaha pembelaan antarabangsa terhadap kematian al-Syahid Mahmoud al-Mabhuh yang ditemui mati dibunuh di hotel penginapannya di Dubai pada 20 Januari lalu.


Dunia diingatkan jangan mudah lupa bahawa Israel sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita untuk mewujudkan The Great Israel tercapai, walaupun di atas runtuhan binaan Masjid al-Aqsa, tempat transit Nabi Muhammad SAW sebelum diangkat ke langit dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Untuk tujuan itu juga, ada manusia yang dijadikan binatang tunggangan lalu memejamkan mata terhadap perlakuan ganas Yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT.


Tindakan sukarelawan Malaysia menggadai nyawa, melakukan apa sahaja untuk membantu rakyat Palestin adalah pekerjaan mulia yang perlu dicontohi dan disokong dengan doa dan harapan agar sentiasa beroleh pertolongan daripada Allah SWT. Demi membela nasib sesama manusia, mereka sanggup meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta walaupun mengetahui akan berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan akibat provokasi Yahudi.


Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:


“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan -pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal ayat 60).


Sehubungan itu juga, umat Islam diharap tidak terkesima dengan perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun yang akan datang. Jangan terlalu berseronok menonton perlawanan bola sepak sehingga nasib saudara seagama diabaikan.


Begitu juga umat Islam diperingatkan supaya tidak melalaikan tanggungjawab ibadat dan kerja-kerja seharian hanya kerana asyik menonton televisyen. Lebih daripada itu, keterlibatan umat Islam berjudi mahupun bertaruh atas kemenangan pasukan yang diminati adalah haram dan sewajarnya dijauhi.


Umat Islam disaran melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu saudara Islam di mana juga mereka berada. Jika terdapat di kalangan anggota sukarelawan Life Line For Gaza yang mengetepikan persoalan agama dan kepercayaan untuk membantu masyarakat Palestin, mengapa tidak seluruh dunia Islam bersatu menentang keangkuhan Zionis di Palestin yang merupakan tuntutan fardu ke atas umat Islam sejagat.


Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON, PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.


sumber: utusanonline


KAMI MAHASISWA PRIHATIN

AUKU; KELEBIHAN ATAU SEKATAN?

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kesal dengan peristiwa penahanan empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pihak polis di Hulu Selangor dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah berundur ke belakang ketika masyarakat dunia khususnya di para belia dituntut mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pentadbiran dan pembangunan negara hari ini. 
Menyoroti hari kejadian tersebut, mereka ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Hulu Selangor bersama tiga orang awam yang lain. Kemudiannya, Pihak pentadbiran UKM telah mengeluarkan surat pertuduhan terhadap empat orang mahasiswa tersebut pada 13 Mei lalu. 
Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik tersebut ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai. Mereka akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 2 dan 3 Jun ini atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang di bawah seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bermaksud;
"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".

Ironinya semua pertuduhan tersebut ditujukan kepada empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik.  Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap mahasiswa untuk turun ke lapangan masing-masing bagi menimbau sebanyak mungkin pengalaman dan mengukuhkan pemahaman. Di mana lagi lapangan bagi mahasiswa jurusan Sains Politik sekiranya bukan dalam  pilihan raya. Ini ternyata bercanggah dan tidak logik bagi akal apabila seorang yang sedang menduduki jurusan di dalam kuliah universiti secara teori tetapi disekat hak akademik mereka untuk mengorientasikan pembelajaran mereka ke lapangan sebenar. 

“Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku," kata Muhammad Hilman Idham
Dakwaan ‘ menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia ‘ pula nyata gagal dibuktikan dengan jelas apabila salah seorang mahasiswa yang ditahan menegaskan bahawa mereka kebetulan ‘hanya menumpang kereta seorang  aktivis’ dan ‘bukan berkempen’. Justeru tindakan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang terus menuduh mahasiswa tersebut menyokong Pakatan Rakyat nyata dikesali dan memalukan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia kerana bertindak kurang rasional dan kebudak-budakkan.
AUKU yang sangat diagung-agungkan oleh pihak pentadbiran UKM ternyata sudah tidak releven lagi. Ini ternyata telah membantutkan pertumbuhan idealisme mahasiswa sejurus mengurangkan kredibiliti mahasiswa sebagai pemimpin pada masa akan datang.

“ Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar. Kami sebagai mahasiswa hanya ingin menyuarakan pandangan serta pendapat terhadap sesuatu isu. Kerajaan sepatutnya menjadikan lontaran idea dari kalangan mahasiswa sebagai batu lonjakan bagi memperbaiki sistem pentadbiran Negara ke arah yang lebih baik.Sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan IPTA di Malaysia mencatatkan penurunan rangking Asia.Jika kerajaan terus menerus menyekat idealisme mahasisa, saya khuatir kualiti mahasiswa-mahasiswa yang dilahirkan akan terus jatuh dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia semakin terkebelakang akibat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritikal dan kritis.” Tegas Mohd Hafiz B Abdul Razak selaku Pengurusi GMUKM

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.






KAMI MAHASISWA PRIHATIN