Rakan MPP FPer

Barisan PMUKM Sesi 2012/2013

Tuesday, May 10, 2011

Ribut Aere Punca Panas Luar Biasa


KUALA LUMPUR: Kepanasan luar biasa yang berlaku di kebanyakan bandar utama negara, khususnya di Pantai Barat Semenanjung ketika ini sehingga mencecah suhu di antara 35 hingga 36 darjah Celsius dijangka berakhir dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan Ribut Tropika Aere dikesan berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara ini.

“Ia disebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering,” katanya di sini, semalam.

Malaysia pernah mencatat suhu 38.3 darjah Celsius di Alor Star, Kedah pada Februari 2005 dan tertinggi sehingga 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Monsun barat daya yang membawa cuaca kering lazimnya berterusan sehingga September.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, dipetik BERNAMA berkata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr K Venkateswara Rao, berkata berikutan keadaan suhu mencecah sehingga 36 darjah Celcius, orang ramai bukan saja harus mengurangkan aktiviti luar malah perlu mengamalkan corak pemakanan seimbang. “Individu perlu minum air secukupnya dan elak makan makanan pedas serta banyakkan pengambilan sayur,” katanya.

Cuaca panas dijangka berakhir minggu depan


KUALA LUMPUR: Suhu panas yang melanda Semenanjung Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka berakhir dalam masa seminggu lagi, kata Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong.

Beliau berkata, keadaan panas ketika ini sehingga menjangkau suhu 36.2 darjah Celcius adalah disebabkan Ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina, meniup angin dari arah Barat Daya ke negara ini.

"Ini menyebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering," katanya.

Namun, beliau berkata keadaan cuaca yang panas seperti itu adalah normal pada Mei dan ia lebih rendah berbanding suhu yang dicatat pada Mei 1998.

"(Pada 1998) di Chuping (suhunya 38.9°C), Alor Setar (37.5°C), Lubuk Merbau (37.0°C), Melaka (38.0°C), Batu dan Kuala Krai (38.0°C)," katanya.

Saw berkata, keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering dan menjadikan api mudah marak, seterusnya boleh menyumbang kepada jerubu.

Beliau menasihatkan orang ramai mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya meminum air dalam kuantiti yang banyak," katanya.

sumber : berita harian

No comments:

Post a Comment

mahasiswa berhak bersuara. lontarkan suara anda si sini.
"YOUR VOICE IS MY VOICE!"