"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah Al-Baqarah: Ayat 255
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang Maha Agung. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, manusia ialah makhluk yang mempunyai akal budi.
Jika diperincikan lagi maksudnya, akal daripada aspek manusia bermaksud dapat berfikir, manakala budi pula bermaksud kebijaksanaan.
Jadi bolehlah dirumuskan secara ringkas dan umum daripada segi bahasa, bahawa manusia itu adalah makhluk yang dapat berfikir dengan bijaksana.
Penciptaan Manusia
Dalam Al-Quran telah diterangkan mengenai asal penciptaan manusia yang bermula daripada tanah (Nabi Adam a.s.) kemudian seterusnya seperti mana firman Allah s.w.t.:
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." - Surah Al-Mu'minun: Ayat 12-14
Perlu diingat bahawa asal penciptaan manusia di dalam Al-Quran bukanlah sebuah teori atau sangka-sangka manusia.
Ini adalah hakikat penciptaan manusia yang sebenar oleh Allah yang Maha Pencipta dengan sebaik-baik ciptaan-Nya.
Malahan Allah yang Maha Agung juga mampu mencipta sesuatu yang lebih baik dari manusia.
"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." - Surah Al-Mu'min: Ayat 57
Maka mengapa manusia perlu sombong? Sombong dalam segala aspek kehidupan, daripada segi hartanya, keluarganya, pangkat dan kekuasaannya dan ilmunya.
Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati air yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur." - Surah As-Sajadah: Ayat 7-9
Sekiranya manusia merasakan dirinya hebat dengan adanya pangkat dan kekuasaan, sila perhatikan daripada apa ia diciptakan?
Bukankah sperma melalui zakar yang berkongsi dengan air kencing?
Manusia berkongsi tempat dengan saluran najis kencing, hinakah manusia?
Tidak kira siapa pun juga, Presiden Amerika, Russia, China mahupun Sultan, Perdana Menteri hatta para Nabi a.s. sekalipun melalui proses yang sama kecuali Nabi Adam a.s., Hawa dan Nabi Isa a.s.
Akan tetapi, Allah yang Maha Agung telah mengangkat manusia menjadi makhluk yang mulia dan memberi gelaran yang terbaik. Pangkat yang terbaik dan mengatasi segala gelaran atau pangkat yang diberikan oleh manusia.
Pangkat dan gelaran terbaik itu selain para Nabi dan Rasul, adalah Muslim dan kemuliaan yang paling mulia adalah manusia yang paling bertakwa di sisi Allah yang Maha Agung.
Perlu diingat, manusia tidak dapat mengatasi ketakwaan para Nabi dan Rasul kerana mereka adalah maksum.
"...Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." - Al-Hujuraat: Ayat 13
Tujuan Manusia Diciptakan
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." - Surah Al-Baqarah: Ayat 30
Dalam ayat di atas diterangkan tujuan manusia diciptakan adalah untuk dijadikan khalifah di muka bumi.
Dalam tafsir Ibn Katsir, ayat "menjadikan seorang khalifah" bukan sahaja bermaksud untuk melantik pemimpin dalam kalangan manusia, malahan Allah berkehendak melantik para Nabi dan Rasul.
Selain itu, Allah juga berkehendak menjadikan di antara manusia itu para syuhada, orang-orang soleh, wali-wali, ulama-ulama dan secara umumnya orang yang mencintai Allah serta orang-orang yang mengikuti para rasul-Nya.
Apa yang paling utama adalah Allah yang Maha Penyayang mahu memberi kenikmatan syurga kepada hamba-Nya yang ingin menikmati syurga.
Jadi, adakah kita benar-benar menepati tujuan kita diciptakan?
Adakah kita benar-benar mencintai Allah yang Maha Agung dan mengikuti apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.?
Adakah kita benar-benar mahukan nikmat syurga?
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." - Surah Adz-Dzariyat: Ayat 56
Dalam ayat di atas, Allah secara jelas menerangkan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu untuk menyembah-Nya. Tidak boleh dipersoalkan lagi.
Mengikut Ibn Abas r.a., tidak diciptakan mereka (jin dan manusia) itu, kecuali untuk tunduk (patuh) beribadah kepada Allah secara sukarela atau terpaksa.
Dalam tafsir Ibn Katsir juga menerangkan sedemikian dan ditambah, manusia disuruh beribadah kepada-Nya dan bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan mereka (manusia).
Jadi, adakah kita benar-benar memerlukan Allah atau kita memerlukan selain-Nya?
Adakah kita lebih memerlukan pangkat, harta dan segala jenis keindahan di dunia melebihi rahmat dan penjagaan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?
"Apakah manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)?" - Surah Al-Qiyaamah : Ayat 36
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur, yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat." - Surah Al-Insaan: Ayat 2
Manusia diberi ujian berupa tanggungjawab melaksanakan perintah dan menjauhi larangan di bumi sebelum diadili di akhirat, iaitu penentu sama ada masuk syurga atau neraka.
"Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" - Surah Al-Mu'minuun: Ayat 115
Penciptaan Anggota Badan
"Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu." - Surah Al-Infithaar: Ayat 7-8
Allah yang Maha Penyayang telah menciptakan manusia dengan tubuh badan yang sempurna, seimbang dan rupa yang menarik.
Malah keupayaan berfikir otak termasuk bahasa dan percakapan juga telah sempurna semenjak penciptaan Nabi Adam a.s.
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." - Surah Al-Tin: Ayat 4
Anggota badan telah diletakkan sesuai pada tempatnya dan mudah digunakan. Jari-jari yang fleksibel, mata yang dilengkapi alis mata dan semua penciptaan asal dari Allah telah sempurna dan sesuai pada tempatnya. Samakah penciptaan anggota tiruan manusia dengan penciptaan original oleh Allah yang Maha Agung?
Manakah yang lebih baik antara tangan tiruan ciptaan manusia dengan tangan original ciptaan Allah?
Jawapan: Tentulah yang original.
Manakah yang lebih baik antara kaki tiruan ciptaan manusia dengan kaki original ciptaan Allah?
Jawapan: Tentulah yang original.
Manakah yang lebih baik antara pendengaran (telinga) dan penglihatan (mata) tiruan ciptaan manusia dengan mata dan telinga original ciptaan Allah? Jawapan: Tentulah yang original.
Manakah yang lebih baik antara hukum tiruan ciptaan manusia dengan hukum original (Al-Quran) ciptaan Allah? Jawapan: Jawablah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Nikmat manakah yang hendak kita dustakan lagi?