Assalamu'alaikum dan salah sejahtera, salam kemenangan buat mahasiswa-mahasiswi bumi UKM bertuah ini. Menyentuh beberapa perkara yang timbul sejak GMUKM menguasai majoriti kerusi di PMUKM pada 22 Februari lalu, sukacita kami selaku krew blog PM-UKM membawakan temuramah khusus bersama Pengerusi GMUKM, saudara Hafiz bin Abdul Razak untuk menjelaskan beberapa persoalan yang timbul.
1. Sudah seminggu GMUKM memperoleh mandat PMUKM. Tetapi tiada sebarang pengumuman rasmi atau gerak kerja berkenaannya dilakukan. Jelaskan.
Perlu diingatkan bahawa selepas tempoh pembuangan undi dan pengumuman rasmi keputusan PRK ( pemilihan MPP) , mana-mana pihak berhak membuat bantahan atau rayuan kepada Jawatankuasa Khas Rayuan Pemilihan MPP dalam tempoh seminggu. Selepas seminggu dari tarikh berkenaan (22 hingga 28 Februari). Setelah itu barulah berlaku proses perlantikan rasmi Majlis Perwakilan Mahasiswa. Sehingga itu, mana-mana pihak tiada hak dan kuasa untuk melaksanakan apa-apa bidang kerja dengan mana-mana pihak di dalam Universiti.
2. Dari malam pengumuman rasmi keputusan sehingga sekarang, apakah yang sedang dilakukan oleh MPM GMUKM ?
Pimpinan-pimpinan dan MPM-GMUKM kini dalam fasa meneliti dokumen-dokumen PMUKM yang lama di samping mengadakan siri-siri perbincangan untuk menetapkan kabinet Exco MPMUKM yang baru.
Dukacita juga apabila kehilangan dokumen-dokumen terdahulu,(termasuk) juga sebuah komputer di bilik PMUKM baru-baru ini menyebabkan penubuhan kabinet PMUKM ini berlangsung agak terlambat.
Namun kita di GMUKM tidak gusar, dan memilih untuk mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan pegawai-pegawai Universiti. Hasilnya kini kita merangka suatu SOP (Standard Of Procedure) yang baru dan berjaya didokumentasikan untuk memudahkan perjalanan gerak kerja kita selepas ini. Ini adalah langkah pertama kita memegang MPMUKM. Yang baiknya (ketiadaan dokumen PMUKM terdahulu), kita juga kini sudah mengemaskini beberapa buah maklumat dan informasi terkini berkenaan Universiti dan pentadbiran serta pengurusan gerak kerja MPMUKM.
3. GMUKM dikatakan bakal memperkenalkan peraturan 'Islamik' selepas dilantik secara rasmi. Adakah benar ?
Agak dukacita apabila masih ada pihak 'nakal' yang cuba menimbulkan spekulasi yang sengaja untuk menimbulkan kegelisahan rakan-rakan mahasiswa. GMUKM berpegang kepada GAGASAN GMUKM dan perkara-perkara yang terkandung di dalam Manifesto - Realisasi Varsiti kita sewaktu PRK terdahulu dalam isu meraikan kebudayaan rakan-rakan mahasiswa bukan Islam.
Malah jika dirujuk kepada ulama' Sheikh Yusuf Al-Qardawi di dalam kitab beliau - Fiqh Daulah (Memahami Isu Kenegaraan), beliau menyebut hak mereka yang tidak beragama Islam di dalam sebuah kawasan yang diperintah pemimpin Islam adalah mereka;
a. dipelihara daripada permusuhan di luar negara / kawasan setempat.
b. dipelihara daripada kezaliman dalam negara / kawasan setempat.
c. dipelihara darah dan tubuh mereka dari disakiti.
d. dipelihara harta benda mereka.
e. dipelihara maruah mereka.
f. diberi hak kebebasan beragama dan mengamalkan agama mereka.
g. diberi hak kebebasan dalam kerjaya.
h. diberi hak memegang jawatan dalam negara.
i. Jaminan penunaian hak-hak yang tersebut di atas.
j. Jaminan mendapat pengadilan seadilnya di dalam bidang kehakiman serta tidak dikenakan hudud kecuali apabila diminta dengan rela mereka sendiri.
4. GMUKM didakwa mengamalkan politik populis iaitu suka mencari populariti sedangkan mahasiswa di Universiti lebih menggemari ahli perwakilan yang membawakan isu akademik dan kebajikan.
Bagi GMUKM, tidak timbul soal mencari populariti kerana kita benar-benar memperjuangkan hak dan keperluan mahasiswa. Melalui kajian yang dilakukan, mahasiswa lebih jelas memerlukan MPM ini membawa isu masalah-masalah yang bersifat setempat, seperti isu fasiliti, makanan, kemudahan air dan elektrik, rangkaian internet WIFI, pengangkutan termasuk isu tempat letak kenderaan dan pengangkutan bas serta masalah-masalah lain.
Tidak pasti jika tindakan kita mewar-warkan ini dianggap sebagai mencari populariti, tetapi kami di GMUKM sentiasa berpegang kepada dasar GM iaitu Keilmuan, Kebajikan & Penghayatan Falsafah Universiti.
5. GMUKM dikatakan mengamalkan politik ekstrem terutama dengan pihak Universiti. Adakah benar ?
Adalah kurang tepat jika tindakan GMUKM yang menuntut keadilan itu dikatakan 'politik ekstrem' sedangkan pelbagai birokrasi terhadap GMUKM selama ini tidak pula ingin ditafsir. Menjawab beberapa perkara yang dibangkit yang mengatakan GMUKM begitu radikal, kita ingin menjelaskan bahawa kita menuntut apa yang sepatutnya memang menjadi hak kita sebagai mahasiswa.
Kita bawakan isu keadilan, kesejahteraan dan menolak birokrasi kerana kita berpegang kepada 'Mahasiswa adalah pelanggan utama di Universiti'. Universiti ini tidak akan wujud tanpa mahasiswa. Kakitangan, pensyarah, penyelidik sehingga tahap tertinggi 'board' Majlis Pengurusan Universiti (MPU) diwujudkan kerana mahasiswa itu wujud. Justeru apa-apa isu yang ingin dibawa atau Universiti hendak membuat polisi atau dasar-dasar yang baru, haruslah berbalik untuk mahasiswa. Mahasiswa berhak didengari, dan itu merupakan polisi pelanggan utama bagi setiap kakitangan Universiti.
Dan apabila hak dan keperluan mahasiswa ini tidak didengari, atau dilanggari maka kita tidak dapat memberikan jaminan mahasiswa akan duduk sahaja. Isu sistem-sistem yang cuba mengikat mahasiswa sehingga menjadikan mahasiswa lembab atau 'mandom' , inilah yang kita cuba elakkan. Kita tentang karenah-karenah birokrasi di pejabat-pejabat pentadbiran Universiti kerana harus diingatkan, mahasiswa punya masa yang begitu pendek di Universiti. Tiga atau empat tahun bukanlah suatu masa yang panjang untuk membina potensi dan kemandrian diri. Ini semua harus dipertimbangkan. Dan ini semua yang kita perjuangkan. Apabila ia sengaja dikesampingkan, itulah sebab GMUKM bangkit menuntutnya.
6. GMUKM kini memegang majoriti PMUKM. Adakah selepas ini GMUKM akan menjadi lebih 'lunak' dalam pembawakan isu-isu mahasiswa ?
GMUKM optimis, setiap apa yang kita lakukan hari ini akan kekal diperjuangkan biarpun ketika kita menang atau kalah. Agenda-agenda kebajikan, keilmuan dan penghayatan Falsafah Universiti jelas menjadi garis panduan kita kerana kita hari ini tertegak dan beroleh kepercayaan rakan-rakan di atas aspek-aspek tersebut.
Isu kita kini sudah 'slow' membawakan isu-isu mahasiswa, sudah tiada desakan terhadap HEP, tiada piket dan lain-lain jelas tidak berasas kerana kita hari ini melihat kemenangan ini sebagai sebuah lagi platform untuk kita menyuarakan isu-isu mahasiswa dengan lebih berkesan. Dengan izin-Nya, kita dapat menyaksikan perubahan dan perbezaan yang ketara antara kepimpinan MPMUKM kini dan yang terdahulu. Itu janji kita.
No comments:
Post a Comment
mahasiswa berhak bersuara. lontarkan suara anda si sini.
"YOUR VOICE IS MY VOICE!"